Saturday, April 29, 2017

 

Bismillah.

Pertama sekali semestinya aku bersyukur pada Dia yang mengatur semua ni. Menghadirkan manusia demi manusia dalam hidup aku untuk mengajarkan sesuatu dalam hidup. Aku sangat percaya takkan ada pun satu perkara meski kecil, berlaku tanpa adanya sebab. Aku sangat bersyukur. Dan dari situ aku belajar untuk melihat bukan sahaja menggunakan mata. Bahkan hati juga perlu untuk melihat.

Untuk insan-insan yang masih ada dalam hidup aku, yang pernah memberi banyak kebaikan, jasa kalian semua aku serahkan pada Allah. Kerana itulah yang selayaknya untuk kebaikan kalian. Dan kepada yang mungkin pernah menyakiti aku, aku anggap itu semua hanyalah kafarah untuk aku. Mungkin aku lebih banyak lagi sakiti orang lain. Aku minta maaf sedalamnya.

Hari demi hari, aku sedar dunia ini sungguh pendek masanya. Persinggahan ini betul-betul terasa. Sangat pendek. Jadi, dengan kesedaran ini juga aku belajar untuk tidak mewujudkan apa-apa masalah dengan insan lain. Kerana... ia terlalu singkat untuk kau sakit hati, proses memaafkan, proses melupakan, ia mengambil banyak masa. Endahkan semuanya. Pedulikan. Itu lebih baik. Anggap saja semua itu cuma satu perjalanan yang agak gelap, di depannya nanti ada cahaya lagi dengan cara jangan mudah ambil hati. 

Hati. Ajar hati itu untuk mudah memaafkan. Ajar hati itu untuk mudah meminta maaf. Ajar hati itu untuk mudah menerima. 

Manusia. Manusia ini kau tak boleh paksa. Mungkin kau rasa, diri kau ditipu, tapi untuk mudah memaafkan, fikirlah dari pihak dia. Mungkin manusia itu ada privasi tersendiri yang memaksanya untuk tidak beri penjelasan sebaiknya. Jadilah manusia yang tidak memaksa. 

Hargailah insan-insan yang berada di sekeliling kau sebaiknya. Sentiasa ada peluang untuk kau baiki apa yang telah kau rosakkan. Sentiasa ada.

Bersangka baik sentiasa pada Allah. Itu kunci utama. Kerana hidup dan mati kau hanya kerana ALLAH. Manusia hanya asbab untuk kau capai redha Allah sepenuhnya. 

Hablu minAllah. Hablu minannas. Jaga sebaiknya.