Monday, September 7, 2015


Wanita Tarim sudah terbiasa sejak daripada kecil dibesarkan dalam lingkungan beragama dan terdedah dengan ulama, majlis ilmu, maulid dan sebagainya. Sedari kecil mereka dididik untuk membaca al-Qur’an oleh ibubapa mereka. Terdidik dengan akhlak yang mulia. Terjaga pergaulan mereka. Terpelihara aurat mereka. Bagi mereka setelah mencapai umur baligh, tempat mereka adalah di dalam rumah. Mereka tidak pernah melihat lelaki asing selain daripada saudara-saudara lelaki dan bapa saudara mereka sahaja. Mereka dibesarkan dengan tidak mengenal muzik, tidak mengenal kebiadapan dan tidak kenal wajah orang fasiq. Perbualan mereka adalah perbualan tentang majlis-majlis ilmu, al-Qur’an, adab, akhlak, tasawwuf dan seumpamanya. Begitulah keadaan mereka dibesarkan.
Lebih daripada itu, kalau kita sorot secara mendalam tentang kehidupan ahli kota seribu ulama ini, kita akan dapati masih banyak lagi keunikan dan seni budi pekerti junjungan mulia Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dalam rumah tangga nabawi yang payah untuk kita temukan di masa kini, namun dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat Tarim. Inilah keberkatan yang ada pada kota Tarim.
Di Tarim amat-amat sukar sekali untuk kaum perempuannya yang mendedahkan wajahnya di khalayak ramai hatta tatkala mereka bekerja di ladang atau mengembala kambing kawasan kering bukit-bukau sekalipun jauh dari pandangan kaum lelaki, mereka tetap berabaya dan berniqab/berpurdah hitam. Mereka dapat bertahan walaupun di dalam keadaan panas teriknya matahari di negeri Tarim/Hadhramaut yang terkenal dengan panasnya. Begitulah perempuan di Tarim. Kepanasan api neraka lebih mengerunkan mereka berbanding teriknya pancaran matahari. Dan kaum perempuan di Tarim hanya keluar andainya ada keperluan sahaja. Kalau ke pasar atau ke kedai ada mahram yang akan menemaninya atau mereka keluar secara bergerombolan. Maka terpeliharalah mereka dari sebarang fitnah. 

Diri ini sangat mencemburui kalian wahai bidadari dunia. Semoga aku juga dapat menjadi seperti kalian. Sehebat Saidatina Khadijah dan Saidatina Aisyah.
 ّاللّهم اجعلنا مثلهن